11 Disember 2015 - 16:37
Remaja ISIS bunuh Syiah ditangkap di Malaysia

Remaja berusia 19 tahun pernah membunuh Syiah telah ditangkap di Malaysia, bukti kempen anti Syiah mendorong rakyat Malaysia menyertai kumpulan pengganas.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Kempen anti Syiah menjadi faktor utama rakyat Malaysia menyertai kumpulan pengganas ISIS (Negara Islam Iraq dan Syria) adalah fakta yang tidak dapat disangkal lagi apabila Bahagian Cawangan Khas Counter Terrorism Bukit Aman berjaya menangkap seorang remaja yang di kesan telah membunuh pengikut mazhab Syiah di Syria, lapor BERNAMA, Jumaat, 11 Disember 2015.

Menurut akhbar Harian Metro, remaja tersebut dikatakan pernah membunuh seorang pengikut mazhab Syiah dengan melepaskan 9 das tembakan di kepala menggunakan rifel AK47.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata suspek berasal dari Perak itu ditahan oleh anggota Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia selepas kembali dari Syria melalui Turki.

"Bekas pelajar sebuah kolej di Kaherah, Mesir, direkrut untuk menyertai kumpulan pengganas di Syria pada pertengahan 2014 selepas berinteraksi melalui Facebook dengan seorang daripada anggota pengganas dari Syria.

"Pada hujung September 2014, anggota pengganas itu mengatur penyusupan masuk suspek ke Syria melalui Turki," katanya menerusi kenyataan di Kuala Lumpur, kelmarin.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek menyertai satu daripada kumpulan gabungan Al Qaeda di Syria dikenali dengan nama Jund Al Aqsa.

"Suspek menjalani latihan ketenteraan selama sebulan di beberapa kem kumpulan pengganas di Hamar dan Idlib di Syria," katanya.

Khalid berkata suspek juga didedahkan dengan kemahiran mengendalikan senjata api AK47, Rocket-propelled grenade (RPG), machine gun, senjata anti kereta kebal dan bom tangan.
"Suspek juga terlibat dalam hampir 100 operasi ketenteraan bersama kumpulan itu," katanya.

Beliau berkata suspek ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Bab VIa, kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Sebelum ini Professor Dr. Syed Farid dari Univerisiti Nasional Singapura meminta kerajaan Malaysia bermuhasabah apakah tindakan melancarkan kempen anti Syiah telah mendorong rakyat Malaysia menyertai kumpulan pengganas ISIS.